Kasih ibu tiada sempadan.
Begitulah juga dengan kisah seorang pegawai polis wanita di China, Hao Lina, yang telah mencairkan hati jutaan manusia selepas dia menyusukan bayi seorang wanita yang disyaki.
Ibu si bayi itu sedang menghadiri perbicaraan dan tidak membolehkannya menyusukan anaknya yang sedang menangis ketika itu. Dia kemudiannya memberikan kebenaran kepada Puan Hao untuk menyusukan bayinya yang baru berusia 4 bulan itu.
Peristiwa menyentuh hati itu berlaku pada 23 September baru-baru ini di Mahkamah Shanxi Jinzhong Intermediate People di bahagian tengah China.
Menurut mahkamah, ibu bayi tersebut didakwa atas penipuan pengumpulan dana, mengambil wang orang awam secara haram dan menyembunyikan jenayah bersama dengan 33 orang yang lain.
Sebelum ibu yang disyaki tersebut memasuki ruang perbicaraan, bayinya telah ditinggalkan di bawah penjagaan Puan Hao dan seorang lagi pegawai polis.
“Bayi itu tidak berhenti menangis dan kami semua sangat risau,” ujar Puan Hao.
“Saya baru sahaja menjadi seorang ibu, justeru saya memahami betapa cemasnya perasaan ibu bayi tersebut. Saya hanya mahu menolong sedaya mampu dan memberi keselesaan kepada si kecil. Itu sahaja yang berlegar difikiran.”
Setelah mendapat kebenaran daripada ibu bayi tersebut, Puan Hao mula memberi susu badan di satu penjuru yang agak senyap.
Setelah sesi perbicaraan tamat, pegawai mahkamah telah menyerahkan semula bayi tersebut kepada ibunya. Jantina bayi tersebut tidak pernah didedahkan.
Kejadian telah dirakam oleh salah seorang rakan sekerja Puan Hao. Beberapa keping gambar turut dikongsi oleh pihak mahkamah di laman sesawang rasmi dan akaun media sosial mereka sebelum mendapat liputan oleh pelbagai syarikat penerbitan China.
Menurut mahkamah, ibu bayi itu yang hanya dikenali dengan nama keluarga Li, sangat tersentuh dengan kebaikan Puan Hao. Dia tidak berhenti menangis sewaktu meninggalkan mahkamah.
Kebaikan Puan Hao mendapat pujian ramai. Mengulas mengenai pujian berterusan yang diterima, sambil merendah diri Puan Hao mengatakan, “Saya percaya setiap pegawai polis akan melakukan perkara yang sama. Kalau saya berada di tempat ibu tersebut, saya juga berharap seseorang akan datang menghulurkan bantuan kepada bayi saya.”





